Skip to main content

Makam Nibong@Tembuni Kampung Mengkasar Pekan.


KOMPLEK Makam Nibong di kampung Mangkasar, Pekan. Di sinilah letaknya Makam Sultan Zawal, Sultan Pahang yang mangkat pada tahun 1555 dan di sini jugalah makam Sultan Mansur Shah.

Saya kira kita lebih banyak dapat mengetahui tapak-tapak bersejarah di sekitar Pekan bahkan seluruh negeri Pahang, kerana di Muzium tersebut terdapat penerangan serba sedikit mengenai latar belakang sejarah negeri Pahang bermula dari zaman prasejarah hinggalah zaman kemerdekaan.

Saya tertarik untuk mengkaji beberapa buah makam lama yang terdapat di Kuala Pahang dan juga di sekitar bandar Pekan, di mana saya dapati ada tapak-tapak bersejarah yang belum dikenal pasti dengan jelas.

Antaranya ialah Kompleks Makam Nibong yang terletak di Kampung Mangkar yang berdekatan dengan bandar Pekan.

Menurut catatan sejarah Pahang di Makam Nibong itulah dimakamkan Almarhum Sultan Zainal Abidin, sultan yang memerintah Pahang dari tahun 1530 hingga tahun 1555.

Di zaman dulu makam Nibong itu disebut Makam Tembuni. Di kompleks makam itu ada lebih kurang tujuh buah makam yang nisannya menggunakan batu Aceh, iaitu batu Aceh jenis yang digunakan pada abad ke-15 hingga abad ke-16.

Di Kompleks Makam Nibong itu juga dipercayai terletaknya makam Sultan Mansur Syah, iaitu putera Sultan Zainal Abidin yang memerintah Pahang selepas kemangkatan ayahandanya.

Makam yang lain-lain hampir tidak dikenal pasti, kerana tidak terdapat sebarang tanda nama di nisan masing-masing.

Dalam sejarah Pahang ada menyebut bahawa Sultan Zainal Abidin yang memerintah Pahang sejak tahun 1555 itu telah mangkat pada tahun 1560 dan almarhum itu disebut 'Marhum di Bukit', kerana dimakamkan di atas sebuah bukit kecil yang juga dikenal sebagai Makam Nibong, kerana ada pohon nibung yang tumbuh di sekeliling bukit kecil tersebut.

Dalam sejarah Pahang pada makam itu juga disebut Makam Tembuni.

Bagaimana nama itu diperoleh tidak pasti namum, menurut cerita-cerita lisan daripada penduduk tempatan, perkataan tembuni itu timbul kerana di sekeliling bukit itu merupakan tempat menanam tembuni yang lahir bersama bayi, lantas tempat itu disebut Makam Tembuni.

Ada cerita lisan lain pula yang menyebut, bahawa di atas bukit itulah seorang perempuan yang sedang menanam tembuni telah ghaib dan tidak dapat dikesan, lalu tempat itu disebut tembuni.

Sultan Mansur Syah II, iaitu Sultan Pahang ke-8 daripada zuriat Kesultanan Melaka itu yang memerintah Pahang dari tahun 1555 hingga tahun 1560 adalah putera Sultan Zainal Abidin, Sultan Pahang ke-7.

Baginda beristerikan Raja Fatimah anak Sultan Alaudin Riayat Syah II, Sultan Johor beranakkan Raja Putih atau nama timang-timangannya Puteri Kecil Besar dan seorang lagi bernama Raja Subuh.

Seorang lagi isteri Sultan Mansur Syah ialah Puteri Bakar anak Raja Terengganu, berputerakan Raja Jalal, Puteri Tengah dan Puteri Dewi. Baginda juga mempunyai seorang anak angkat iaitu Raja Abdul Kadir iaitu saudara seayah baginda.

Raja Putih iaitu puteri Sultan Mansur Syah dengan isteri baginda Raja Fatimah telah berkahwin dengan Kasab putera Khoja Ahmad dari Siak beroleh 6 orang anak iaitu Raja Mahmud dan 5 orang puteri.

Seorang anak perempuannya yang bongsu bernama Puteri Bongsu Chendera Dewi, iaitu ibu Raja Mughal dan Raja Mughal inilah yang kemudiannya menjadi Raja Aceh bergelar Sultan Iskandar Sani, yang telah berkahwin dengan anak Sultan Iskandar Mahkota Alam, Raja Aceh yang sangat masyhur itu.

Mengikut Bustanus-Salatin (Sejarah Aceh), Sultan Mansur Syah II, Sultan Pahang itu telah mangkat dalam satu peperangan dengan orang Jawa kafir.

Bustanus-Salatin tidak pula menyebut di mana peperangan itu berlaku, barangkali berlaku di Pahang juga, kerana waktu itu di Pahang telah banyak didiami oleh orang-orang Jawa yang masih beragama Hindu.

Mereka telah lama mendiami Pahang hingga mereka dapat membentuk satu masyarakat Jawa yang masih belum memeluk agama Islam, dan mereka ini selalu disebut oleh orang Melayu sebagai Jawa kafir. Begitulah apa yang disebut dalam Bustanus-Salatin.

Setelah Sultan Mansur Syah mangkat pada tahun 1560, dan disebut Marhum Syahid lalu dimakamkan di Makam Nibong, di sisi makam ayahanda baginda Sultan Zainal Abidin.

Raja Fatimah iaitu janda baginda telah balik semula ke Johor dan tinggal di istana ayahandanya di Johor Lama. Tidak lama kemudian Raja Fatimah berkahwin pula dengan Raja Umar, anak raja di Pahang, Raja Umar akhirnya menjadi Sultan Johor.

Anak Raja Fatimah dengan suaminya Sultan Mansur Syah berkahwin dengan Raja Kasab, juga bersemayam di Panchor, Johor. Mangkat di situ dan ada makamnya hingga sekarang.

Oleh: N.A. HALIM

Sumber : Utusan Melayu


http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.aspy=1998&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4K9Gb4Xkt

Comments

Popular posts from this blog

Maria Menado : Isteri Sultan Pahang.

Yang Teramat Mulia Dato' Sri Hajah Maria Binti Abdullah @ Maria Menado. Dilahirkan sebagai Liesbeth Dotulong pada 2 Februari 1932 di Tunsia, Mabnahasadari, Menado, Sulawesi Utara. Sewaktu berusia 7 tahun, beliau tinggal di Makasar bersama ibu dan bapa saudaranya disebabkan ibu bapanya sudah meninggal dunia. Beliau berhijrah ke Singapura sewaktu berusia 19 tahun iaitu pada tahun 1951. Memeluk agama Islam dan berkahwin dengan A Razak Sheikh Ahmad seorang promoter tinju dan penulis skrip. Mula menyertai bidang seni pada tahun 1951 apabila diberikan watak utama dalam filem "Penghidupan" di samping Seniman Agung Tan Sri Dr P Ramlee.  Beliau aktif sebagai pelakon bermula tahun 1951 hingga 1963. Namun, watak pontianak dalam filem "Pontianak" pada tahun 1957 melonjakkan lagi nama Maria Menado. Filem ini merupakan filem seram pertama dalam sejarah Filem Melayu. Filem Pontianak ini disusuli dengan Dendam Pontianak pada tahun 1957 dan Sumpah Pontianak(1958). Maria M...

Sejarah Keluarga Al-Attas

Makam Ziarat Raden Kampung Mengkasar Pekan.

Tidak ramai masyarakat Pekan hari ini tidak tahu mengenai Makam Ziarat Raden yang terletak di Kampung Mengkasar Pekan Pahang. Makam Ziarat Raja Raden dilihat agak penting dalam sejarah dan kebudayaan Islam di Pahang. Antara yang dimakamkan di sini adalah Raja Fatimah puteri kepada Sultan Alauddin Riayat Syah, Sultan Melaka ketujuh (1477-1488 Masihi). Raja Fatimah adalah isteri kepada Sultan Abdul Jalil (Jamil). Tarikh batu nisan Raja Fatimah bertulis 15 Syawal 900 Hijrah bersamaan 7 Julai, 1495 Masihi. Sultan Abdul Jalil (Jamil) Sultan Pahang ketiga, merupakan putera Sultan Muhammad Shah, Sultan Pahang pertama (mangkat pada 1475 Masihi). Sultan Melaka, Sultan Mahmud telah menghantar orang besar baginda yang bergelar Seri Dewa Raja pergi ke Pahang meraja dan menobatkan Sultan Abdul Jamil Shah sebagai Sultan Pahang. Sultan Abdul Jamil berkahwin dengan Raja Fatimah sepupu baginda dan kakak kepada Sultan Mahmud. Pada masa Sultan Mahmud Shah di Pahang (tahun 1511-1...