Makam Chondong menjadi salah satu makam penting kerana ia merupakan testimoni kepada hubungan erat yang pernah terjalin di antara Pahang dan Aceh pada abad ke-17 Masihi. Keberadaan batu-batu nisan ini dicatatkan dalam Kitab Bustanu’s –Salatin yang ditulis oleh Sheikh Nuruddun ar-Raniri yang mengisahkan bagaimana Sultan Iskandar Thani telah memerintahkan Orang Kaya Maharaja Seri Maharaja, Orang Kaya Laksamana Seri Perdana Menteri dan Orang Kaya Lela Wangsa bertolak ke Pahang untuk meletakkan batu nisan pada makan ayahandanya. Hal ini kerana semasa penaklukan Pahang, Sultan Iskandar Thani telah dibawa lari ke Acheh dan masih berumur tujuh tahun. Oleh yang demikian, baginda telah memerintahkan pembesar-pembesarnya meletakkan batu nisan di makam-makam keluarganya di Pahang.
Menurut cerita orang tua-tua dahulu, pada suatu hari pada tahun 1906, sekumpulan gajah sedang melintasi sebuah tanah perkuburan lama yang terletak di Kampung Mengkasar. Tiba-tiba seekor daripada gajah-gajah itu telah naik minyak dan menyondol batu-batu nisan yang terdapat di makam itu, menyebabkan ia condong dan pecah.
Kejadian itu berlaku sewaktu gajah-gajah itu sedang menarik kayu-kayu untuk dibawa ke tapak istana Tengku Besar Mahmud. Pada masa itu, kerja-kerja membina istana Tengku Besar Mahmud sedang rancak dijalankan dan memerlukan banyak gajah untuk menarik kayu-kau tersebut.
Disebabkan batu nisan itu pecah dan condong, lalu makam tersebut dinamakan Makam Chondong. Makam ini merupakan makam diRaja paling tua di negeri Pahang selain dari Makam Sultan Muhammad Syah, Dusun Pinang, Pahang Tua dan Makam DiRaja Kampung Marhum.
Antara yang dimakamkan di sini adalah Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Shah (Marhum Pahang), Raja Muda Abdullah (Marhum Muda Pahang) dan Puteri Bongsu Chendera Dewi.
Comments
Post a Comment