Didalam buku “Juara Yang Tewas” tulisan Dato Aripin Said ada menyebut tentang cerita rakyat tempatan berkenaan Tasik Chini. Sebuah pengkisahan yang pada saya begitu menangkap ruang ketakutan sebagai seorang pembaca dan sangat-sangat menarik pembawaan ceritanya. Buku ini juga sedikit sebanyak telah memberi peluang dan pengetahuan kepada pembaca tentang keadaan tasik tersebut serta sosio-budaya penduduk tempatan. Pada saya sebagai orang bukan anak jati negeri Pahang saya menganggap kisah “Naga Tasik Chini” adalah sebuah lagenda dan kisah yang tak
terungkap sehingga kini, biarpun pada hari ini ia dianggap sebagai sebuah cerita lagenda rakyat tempatan namun ia tetap sebuah etmologi yang tidak harus dipandang sepi. Buku yang diterbitkan pada tahun 1983 dibawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu mungkin tidak diketahui umum pada zaman tersebut memandangkan tajuknya lansung tidak menggambarkan isi kandungannya. Namun bagi dunia “perbukuan” buku ini adalah salah satu koleksi yang masih lagi menjadi buruan yang panas. Setiap orang ingin memilikinya dan sudah pasti ia akan menjadi suatu rahmat kepada penggemar buku sekiranya buku ini diterbitkan semula. Saya sebagai seorang pembaca dan pengumpul buku-buku genre sebegini tersangat berharap sekiranya ia dapat diterbitkan semula pada satu hari nanti.
Didalam buku tersebut diceritakan akan kisah 2 lelaki yang sedang bertapa dan ilmu yang diamalkan oleh mereka itu ialah bertukar menjadi seekor naga! Pertapaan selama ratusan tahun itu akan berakhir setelah sisik naga bertukar menjadi keemasan. 2 ekor naga tersebut dinamakan Sri Pahang dan Sri Gumum. 2 ekor naga tersebut bertapa didalam tasik tersebut dan semua hidupan di tasik tersebut menghormati mereka, sehinggakan ada perjanjian diantara manusia dan hidupan tasik tersebut agar
tidak saling merosakkan diantara satu sama lain. Maka semua makhluk disitu hidup aman damai tanpa sebarang masalah. Dipendekkan cerita akhirnya Sri Pahang keluar menentang Sri Kemboja kerana pada waktu itu Sri Kemboja telah menggangu keamanan negeri Pahang. Pergelutan diantara mereka memakan masa berbulan-bulan sepanjang Laut China Selatan hinggalah ke Teluk Siam. Lautan yang bergelora dan ombak yang begitu kuat menyebabkan para nelayan disepanjang laut China Selatan tidak dapat turun ke laut. Berkat ilmu dan kesabaran Sri Pahang, Sri Kemboja hampir berjaya ditewaskan dan mendapat luka yang sangat teruk. Sri Kemboja terpaksa menyelamatkan dirinya dengan bersembunyi dicelah-celah gua didalam laut. Sekiranya ia cuba keluar dari lubang tersebut, dengan pantas Sri Pahang memukulnya.
Akhirnya Sri Kemboja mendapat akal dan telah menggunakan telepati dengan memasuki kedalam mimpi Raja Siam. Didalam mimpi itu tersebut ia memberitahu tahu bahawa dirinya didalam kesusahan dan meminta agar Raja Siam menyiapkan sejumlah meriam di tepi pantai. Sekirnya ternampak seekor naga yang bewarna perak maka tembaklah ia dengan meriam tersebut kerana itulah Sri Pahang.Maka pada hari yang dijanjikan maka kelihatanlah 2 ekor naga sedang bertarung. Maka ditembaklah Sri Pahang sehingga parah lah ia. Akhirnya akibat dari luka yang teruk itu Sri Pahang pulang ke negeri Pahang dalam keadaan nazak dan menghembuskan nafasnya yang terkahir di Pekan, Pahang setelah ia bertukar menjadi seorang manusia.
Pada saya nukilan ringkas ini bermaksud Pahang mungkin pernah menentang pentadbiran wakil Siam iaitu Maharaja Dewa Sura dan ingin mentadbir negerinya dengan bebas namun mereka dikalahkan setelah Maharaja Dewa Sura memohon bantuan dari Kerajaan Ayutthaya dan akhirnya Pahang dikalahkan. Jika ditelusuri sejarah tasik Chini beberapa pendapat telah diutarakan seperti terdapatnya sebuah runtuhan kota dan terdapat juga kisah bahawa seorang tentera Australia yang menyelam kedalam tasik tersebut menemui kota tersebut. Namun ketiadaan usaha untuk membuat ekskavasi di kawasan tersbut menyebabkan ia terus kekal misteri hingga hari ini. Kebiasaannya orang-orang dahulu lebih suka menggunakan perlambangan bagi menerangkan sesuatu perkara agar tidak diketahui oleh pemerintah.
Suatu masa dahulu kisah Naga Tasik Chini pernah diangkat sebagai sebuah filem pada era 60an dan masih kekal sebagai sebuah filem klasik yang tiada tolok bandingnya. Walaupun dengan ketiadaan teknologi canggih pada waktu itu, produksi perfileman dan para pelakonnya berjaya menggangkat genre sejarah ini ke satu martabat yang cukup tinggi. Saya dan saya pasti sekalian dari kita amat-amat berharap agar suatu masa nanti kisah-kisah sebegini akan muncul didalam panggung tempatan.
Atas dasar minat dan ingin tahu maka sebulan yang lalu saya sendiri pergi meninjau dan mencari kawasan-kawasan yang dimaksudkan serta dapat menemubual beberapa penduduk tempatan. Alhamdulillah kawasan tersebut ialah sepanjang jalan Kg Permatang Pasir hingga ke Tanjung Agas, Pekan Pahang. Menurut penduduk tempatan keadaan kawasan tersebut telah banyak berubah dan ramai diantara mereka yang tahu akan kisah tersebut sudah meninggal dunia. Ada pula yang mengatakan hanya yang bernasib baik saja yang akan menemui makam tersebut. Sepanjang jalan memacu kenderaan sambil melihat keadaan sekitar saya merasakan kawasan tersebut masih tidak banyak berubah dan amat jauh dari pembanggunan. Di penhujung kawasan tersebut saya sampai di Tangjung Agas, sebuah kuala sungai yang indah namun masih terdapat kesan-kesan akibat banjir yang lalu. Menurut cerita lisan penduduk disitu kawasan tersebut tidak meriah dengan para pengunjung kerana perubahan-perubahan alam yang telah berlaku. Tiada lagi perkelahan dan pengutip kupang datang ke kawasan tersebut. Maka hilanglah Tanjung Agas sebagai sebuah cebisan sejarah suatu masa dahulu. Hilang bersama misteri makamnya Naga Sri Pahang sebagai sebuah hikayat tempatan.
Manakala di Tasik Chini pula, kawan saya yang berkesempatan kesana memberitahu sudah begitu banyak perubahan yang berlaku seiring dengan dasar kerajaan yang ingin memajukan kawasan tersebut. Kini kawasan Chini telah dijadikan sebagai sebuah kawasan FELDA dan secara tidak lansung kawasan tasik chini telah dibangunkan dengan kewujudan sebuah tempat peranginan yang sedikit sebanyak telah membantu ekonomi penduduk tempatan. Namun disebalik semua itu kepesatan untuk memajukan kawasan tersebut, proses pembangunan yang dijalankan adalah tidak terkawal telah merosakkan keindahan kawasan tersebut. Kami sebagai pencinta sejarah dan sebagai orang luar sangat berharap agar kawasan Chini ini dikekalkan sebagai sebuah tempat bersejarah dan dijadikan warisan untuk generasi akan datang. Harapan saya tidak terkuburlah semangat Sri Pahang yang ingin membebaskan Pahang dan tidak terhentilah semangat Sri Gumum bersabar dalam pertapaannya demi membalas dendam terhadap kematian Sri Pahang. Bukan bermaksud dendam kesumat tetapi kesabaran dalam memelihara warisan bangsa itulah yang patut digenggam agar anak bangsa tidak buta akan sejarahnya sendiri dan tidak menjadi sesumpah apabila melihat sejarah bangsa lain lebih bagus dari bangsa sendiri. Berdirilah diatas kaki sendiri wahai anak bangsaku. Moga-moga terbalaslah segala bakti moyangmu demi mu!
sumber : http://kitabsejarahmalaya.blogspot.com/2015/05/tasik-chini-misteri-yang-tak-terungkap.html
Comments
Post a Comment