Skip to main content

Pekan : Makam tinggalan sejarah.

Makam Sultan Muhammad Shah antara tinggalan sejarah yang dikaitkan dengan keturunan Kesultanan Melaka.
DI Pekan terdapat banyak makam yang mempunyai sejarahnya tersendiri. Maklumat sejarah berkenaan makam-makam tersebut sangat penting di dalam membuktikan kewujudan hubungan luar Kesultanan Melayu Pahang dengan negeri-negeri lain seperti Melaka, Johor dan Aceh.

Menurut Kurator Lembaga Muzium Negeri Pahang (LMNP), Rasidah Abdul Rashid, Makam Diraja Kampung Marhum yang terletak di tebing kiri muara Sungai Pahang di antara Kuala Pahang dan Kampung Marhum merupakan antara makam bersejarah di Pekan.
“Kebanyakan yang dimakamkan di kawasan tersebut terdiri daripada keluarga diraja antaranya Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah, Sultan Mahmud (Sultan Pahang kedua),Sultan Abdullah (Sultan Pahang ketiga), Bendahara Tun Korish, Bendahara Tun Ali, Tun Fatimah (Tengku Ampuan pertama), dan Sultan Mahmud Muzaffar Lingga-Riau dan Sultan Abdul Jalil Ri’ayat Shah (Raja Johor kedua).
“Makam tersebut dipercayai digunakan sejak abad ke 19 namun jika melihat kepada kepelbagaian batu nisan yang sebahagiannya terdiri daripada batu nisan Aceh, kewujudannya mungkin lebih awal daripada zaman tersebut. Ini kerana penyebaran batu Aceh dikatakan berlaku antara abad ke-13 hingga ke-19,” katanya.
Selain itu, makam Permatang Pasir turut menyimpan sejarah berhubung kemungkinan ajaran Islam telah sampai ke Pahang lebih awal dari negeri-negeri lain.
“Ini berdasarkan penemuan sebuah batu nisan bertulis di Kampung Permatang pasir yang tertera tarikh 419 hijrah bersamaan dengan tahun 1028 masihi yang digunakan sebagai bukti tarikh kedatangan Islam ke Pahang. Bagaimanapun penemuan itu tidak dapat dikaitkan dengan perkembangan Islam di Pahang.
“Justeru, ramai ahli sejarah berpandangan bahawa pengislaman di Pahang dipengaruhi Kesultanan Melaka kerana Sultan Pahang pertama yang beragama Islam merupakan keturunan Sultan Melaka iaitu Sultan Muhammad Syah, Putera kepada Sultan Melaka, Sultan Mansor Shah. Pemerintahannya berlangsung selama enam tahun sebelum mangkat pada 1475,” katanya.
Sultan Muhammad Syah selepas itu dimakamkan di suatu tempat yang dikenali sebagai Dusun Pinang yang terletak di dalam mukim Pahang Tua di Pekan.
“Batu nisan yang terdapat pada makam Sultan Muhammad Syah bagaimanapun dipercayai ditemui di makam Langgar di tepi Sungai Pahang Tua selepas berlakunya banjir besar pada 1926.
“Makam itu pada suatu ketika dahulu dianggap sebagai keramat kerana penduduk kampung mendakwa sering kali mendengar suara orang membaca tahlil pada setiap malam di makam berkenaan,” katanya.
Selain itu, Makam Chondong yang terletak di Kampung Mengkasar turut diwartakan sebagai tempat bersejarah.
“Kawasan tersebut pada suatu ketika dahulu merupakan tempat laluan gajah-gajah yang membawa kayu balak untuk pembinaan istana Seri Terentang. Disebabkan kerja-kerja tersebut banyak batu-batu nisan mengalami kerosakan dan berubah menjadi condong. Malah namanya juga dikenali sebagai Makam Chondong disebabkan pokok-pokok di kawasan itu condong di antara kanan dan kiri sehingga membentuk satu laluan.
“Antara yang dimakamkan di lokasi tersebut ialah Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddim Shah (Marhum pahang), Raja Muda Abdullah (Marhum Muda Pahang) danPuteri Bongsu Chendera Dewi,” katanya.
Makam berkenaan dipagar pada 1990 untuk kerja-kerja pemugaran yang melibatkan kerja tanah, membina jalan, memagar, membina cungkup dan memasang papan tunjuk arah.
“Sebelum ini pemugaran pernah dibuat dan penduduk juga pernah memulihara kawasan tersebut dengan membina bangunan berangkakan kayu dan beratapkan zink tetapi disebabkan faktor masa dan keadaan serta binatang seperti gajah, kerbau dan lembu berkeliaran, maka batu nisan dikawasan tersebut mengalami kerosakan,” katanya.
Selain itu, antara makam-makam bersejarah lain yang terdapat di Pekan ialah makam Datuk Seri Nara Diraja, makam Cik Rial, makam Tanjung Johor, makam Syed Abu Bakar, makam Padang Hangus, makam Pulau Jawa, makam Nibong, Komples Ziarat Raja Raden, makam Tok Panjang, makam Tok Acheh, makam Diraja Kuala Pahang dan makam Tok Tuan.

Credit : Utusan Malaysia

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/makam-tinggalan-sejarah-1.66615#ixzz5eaUEH6J2 

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah Keluarga Al-Attas

Kuih Apam Baghdad trademark masyarakat Pekan Pahang.

Kuih apam Baghdad ini merupakan trademark masyarakat Langgar, Pekan, Pahang. Kuih ini hanya boleh didapati di sekitar Pekan, Pahang sahaja. Antara bahan utamanya adalah telur, gula kastor dan tepung naik sendiri. Apam Baghdad ini dimakan bersama seri kaya yang akan diletakkan di bahagian atas kuih ini. Biasanya kuih apam ini berwarna kuning dan seri kayanya pula berwarna hijau. Kombinasi warna yang cukup membangkitkan selera bagi sesiapa yang terlihatnya. Kuih ini tidak ubah seperti kuih apam biasa, namun ianya unik kerana dimakan bersama seri kaya. Apam Baghdad ini juga turut dijadikan hidangan semasa majlis – majlis keramaian di daerah Pekan, Pahang. Resipi Kuih Apam Baghdad. Bahan-bahan. 5 biji telur 250gm gula kastor 1/2 st ovelatte 170gm tepung naik sendiri 1/2 st esen vanila pewarna kuning untuk inti serikaya atas 2 gelas santan @ 400ml santan 5 sudu makan gula pasir atau kastor pon boleh 1 biji telur 1 sudu makan tepung gandum sedikit pewarna hijau sehel

Maria Menado : Isteri Sultan Pahang.

Yang Teramat Mulia Dato' Sri Hajah Maria Binti Abdullah @ Maria Menado. Dilahirkan sebagai Liesbeth Dotulong pada 2 Februari 1932 di Tunsia, Mabnahasadari, Menado, Sulawesi Utara. Sewaktu berusia 7 tahun, beliau tinggal di Makasar bersama ibu dan bapa saudaranya disebabkan ibu bapanya sudah meninggal dunia. Beliau berhijrah ke Singapura sewaktu berusia 19 tahun iaitu pada tahun 1951. Memeluk agama Islam dan berkahwin dengan A Razak Sheikh Ahmad seorang promoter tinju dan penulis skrip. Mula menyertai bidang seni pada tahun 1951 apabila diberikan watak utama dalam filem "Penghidupan" di samping Seniman Agung Tan Sri Dr P Ramlee.  Beliau aktif sebagai pelakon bermula tahun 1951 hingga 1963. Namun, watak pontianak dalam filem "Pontianak" pada tahun 1957 melonjakkan lagi nama Maria Menado. Filem ini merupakan filem seram pertama dalam sejarah Filem Melayu. Filem Pontianak ini disusuli dengan Dendam Pontianak pada tahun 1957 dan Sumpah Pontianak(1958). Maria M